Friday, June 25, 2010

raja segala penipu: 08

khalayak telah mengetahui (baca: mengagak) keadaan sebenar syahbandar yang didapati melewar di seluruh kota tanpa sebarang tujuan. namun, tak semua ambil peduli apa yang telah berlaku kepada puteri kayangan. sejak dimalukan syahbandar suatu ketika dahulu.

baiklah, kita beralih kepada tuan puteri kayangan pula.

sejak puteri kayangan tersebut dimalukan syahbandar, tuan puteri mengalami tekanan perasaan, yang mengakibatkan kecundangnya tuan puteri, dan akhirnya, terpaksa menukar bidang, agar tidak bertemu lagi dengan syahbandar. ramai orang bersimpati terhadap puteri kayangan.

apa pula yang dilakukan syahbandar terhadap kejadian itu? adakah dia tiba-tiba bertanggungjawab?

walaupun syahbandar suka melewar di sekitar kota, namun beliau mempunyai satu tabiat ketika orang lain sibuk bekerja di bidang masing-masing. beliau cukup gemar berada di balai buku negara. di situ, keadaannya sangat selesa. nyaman. sedap-sedap untuk belajar. dan tidur. namun, disebabkan penduduk kota tersebut sangat malas membaca, balai buku tersebut menjadi tempat persembunyian yang sempurna buat syahbandar.

dan, pada suatu hari, sedang asyik bergembira di balai itu, syahbandar terserempak dengan puteri kayangan, yang datang untuk meminjam buku barang sebuah dua. seperti biasa, syahbandar yang mahu kelihatan hebat, pergi bersua puteri kayangan.

syahbandar: eh tuan puteri dari kayangan. hamba dengar-dengar, tuan hamba telah menukar bidang. adakah betul?

puteri: (macam malas nak jawab, angguk-angguk saja)

syahbandar: bidang kita tu memang susah tuan puteri. memang ramai yang tak tahan. hamba kasihankan tuan puteri. nasib baiklah hamba tidak senasib dengan tuan puteri.

syahbandar berlalu, meninggalkan puteri kayangan yang sememangnya geram.

puteri: cis, cakap banyak pulak. ujian kelayakan kerakyatan pun tak lepas, ada hati lagi nak cakap besar. macamlah aku tak tau status dia. pigidah!

maka dendam yang hampir puteri kayangan lupa, terbakar kembali. kalaulah perbincangan tadi berlangsung di luar, sudah mati syahbandar dikerjakan awan terbang puteri kayangan yang berwarna hitam tersebut. namun begitu tidak mengapa. puteri berpegang kepada prinsip yang telah diajarkan kepadanya oleh seorang penulis barat:

'what goes around, comes around'

'tak apa. kau tunggulah pembalasannya nanti, wahai syahbandar yang tak sedar diri.'

bersambung..


DISCLAIMER: episod ni ada tokok tambah. jangan percaya semua benda dalam episod ni. terima kasih.

Tuesday, June 22, 2010

raja segala penipu: 07

che'yat sudah tidak tertahan lagi. sudah ditipu dua kali oleh syahbandar. oleh yang demikian, beliau telahpun mengambil keputusan untuk berpisah. tidak mahu lagi tinggal bersama syahbandar. sudah tidak mahu buah pisang berbuah kali ketiga. che'yat telah mengambil keputusan untuk tinggal bersama seorang pendekar putih yang tinggal di puncak gunung.

maka che'yat dan pendekar putih itu tinggal bersama hingga ke akhir hayat.

dan kembalilah kita kepada syahbandar.

***

setelah berpisah dengan che'yat, syahbandar berasa sangat gusar sekali. kepada siapakah hendak dia bergantung? semua rakyat telahpun mengetahui akan peribadinya yang durjana itu. tak mungkin beliau pulang ke kampung halaman, keluarganya meletakkan harapan terlalu tinggi. apa pula kata orang kampung nanti? ah, malu. malunyeeee~

sekali lagi syahbandar tersedar dari lamunannya. barulah syahbandar teringat akan sesuatu.

ada penduduk baru yang akan masuk ke kota itu. dengarnya, mereka semua datang dari kota yang bernama kirtam. ya, kota kirtam. dikhabarkan mereka ini datang berbondong-bondong. sungguh ramai.

maka dari jauh, syahbandar memperhatikan kelakuan penduduk yang baru berhijrah itu, ingin memastikan sasaran yang sesuai. setelah beberapa purnama. beliau telah mendapat sasaran baru tersebut.

beliau merupakan seorang pedagang. juga bertubuh kecil, dan juga berperahu. cumanya, kali ini pedagang tersebut memiliki perahu merah. tidaklah diketahui adakah nafsu syahbandar hanya tertakluk kepada pedagang-pedagang kecil sahaja. kalian rasa bagaimana?

baik. kita teruskan pengembaraan syahbandar tanpa mengira orientasi seksnya.

maka berkawanlah mereka berdua. kali ini, bukan setakat berkawan baik dengan pedagang kecil ii sahaja. bahkan jua para sahabat pedagang kecil ii. mereka semua menerima kehadiran syahbandar dalam hidup mereka tanpa sebarang syak wasangka.

namun langit tak selalu cerah.

pada suatu hari, syahbandar datang menemui pedagang kecil ii. secara merayu beliau telah berusaha untuk meminjam sedikit wang, untuk perbelanjaan beliau. kata syahbandar, tempoh pinjaman itu tidak lama, beliau ada saja wang, namun pada ketika itu, beliau tidak dapat mendapatkan wang itu. bank tutup.

maka dengan rela hati, pedagang kecil ii meminjamkan wang kepada syahbandar, dengan harapan syahbandar akan bersegera membayarnya apabila berkelapangan kelak.

masa terus berlalu, walaupun mereka sentiasa bertemu, namun tidak pula syahbandar menjelaskan hutang tersebut. hendak menuntut hutang, malu alah pula. tidaklah pedagang kecil ii kesempitan wang, namun, ingin juga beliau berada dalam keadaan bebas hutang. malas untuk berfikir banyak mengenai itu.

masa terus berlalu lagi.

seminggu..

sebulan..

dua bulan..

tibalah masa untuk pedagang kecil ii pulang seketika ke kampung halaman. wang pula kurang mencukupi untuk perbelanjaan pulang. maka teringatlah beliau terhadap hutang syahbandar terhadapnya. maka bersegeralah pedagang kecil ii bertemu syahbandar, untuk menuntut hutang. kalian semua tahu apa jawapannya?

'hamba tiada duit.'

mendengarkan itu, pedagang kecil ii berasa sangat kecewa. tak mungkinlah tempoh selama 2 bulan itu tidak cukup untuk membayar hutang. dulu mengaku anak ketua syahbandar, anak ketua dayang. takkanlah tak cukup wang lagi?

'hamba bagi pinjam duit kat che'yat hari tu. dia yang tak bayar lagi. tuan hamba pergilah mintak kat dia.'

kali ni. pedagang kecil ii berasa sangat marah. apakah mungkin che'yat meminjam duit dari orang yang dibencinya. dan apakah mungkin syahbandar meminjamkan duit kepada orang yang benci kepadanya? ah ini tidak masuk dek akal.

maka pedagang kecil ii yang sangat marah ini pergi menghimpunkan saudaranya yang datang dari kota kirtam itu. mereka semua sepakat. sepakat untuk membawa syahbandar ke muka pengadilan. pengadilan gaya penduduk kirtam.

berkerumunlah mereka di sekeliling syahbandar. sedikit sinar ketakutan terpancar dari muka syahbandar. namun beliau masih cuba berlagak tenang. masih cuba menyelamatkan dirinya. masih cuba menipu.

namun apabila semua mula membuka kekuda mereka, maka ketakutan syahbandar tidak dapat lagi dibendung. terketar-ketar beliau bergerak ke bank, dengan diiringi mereka semua, untuk mengeluarkan wang.

ada saja wang. boleh pulak cakap tak ada wang. dasar penipu!

ketika memberikan wang itupun, syahbandar masih berbuat gedik terhadap pedagang kecil ii. mengharapkan simpati.

'simpati? simpati my arse!'

maka bertambahlah penduduk kota tersebut yang memutuskan hubungan dengan syahbandar.

bersambung..

Tuesday, June 15, 2010

raja segala penipu: 06

walaupun sudah ramai yang membenci syahbandar disebabkan kecenderungannya untuk menipu secara berlebih-lebihan setiap kali membuka mulut, tidaklah ramai yang mengetahui kedudukan sebenar beliau.

apakah kedudukan syahbandar di kota itu sekiranya beliau tidak berjaya dalam ujian kelayakan kerakyatan? jika dia bukan rakyat yang sah, apakah kegunaan beliau berada di sana? jika beliau memang rakyat yang sah, apa lebihnya beliau daripada orang lain, yang bersusah payah menghadapi tugasan dan pertarungan, sedang dia asyik bersenang-lenang?

adakah dia membayar ufti kepada kerajaan, agar dibenarkan berada di kota tersebut, sambil berlagak hebat? oh perbuatan itu hanya akan menjatuhkan nama baik kota tersebut.

oleh itu, para rakyat bersepakat untuk berfikiran positif, pemikiran yang menjaga kesucian kota tersebut sebagai sebuah kota agung.
syahbandar itu seorang barua yang berada di kota tersebut tanpa keizinan.
ya. seorang barua. hanya mencemarkan nama kota tersebut. para rakyat yang tidak berpuas hati cuba memikirkan sebab yang logik atas perbuatan tersebut.

maka, setelah difikir-fikirkan, mereka telah mendapat beberapa kebarangkalian yang masuk akal:

1. syahbandar memang seorang yang suka bercakap besar. tujuannya satu, untuk membuatkan semua orang memandang tinggi kepadanya, walaupun pada hakikatnya beliau itu tiada apa-apa.

2. sebenarnya, syahbandar memang dari kalangan keluarga yang hebat, namun, setelah beliau gagal dalam ujian kemasukan kota, beliau ditimpa malu yang amat besar, beliau juga tidak mahu pulang ke rumah, disebabkan takut dimarahi keluarganya, yang berkedudukan hebat itu.

namun begitu, perkara yang sangat menyakitkan hati para rakyat adalah, apabila melihat syahbandar sentiasa bergembira, sentiasa berlagak seperti semuanya indah-indah sahaja. bukan sahaja sebegitu, senantiasa memperlekehkan rakyat lain.

macam la kami ni bodoh sangat.

namun begitu, rakyat masih bersabar akan perbuatan syahbandar ini. tidak mengapa. nanti masanya akan tiba jua. kau tunggu sajalah syahbandar.

bersambung..

Saturday, June 12, 2010

raja segala penipu: 05

adalah disebut-sebut bahawa kota tersebut merupakan kota yang makmur, kota yang tersusun pembangunannya, kota yang teratur peradabannya, dan sungguh adil peraturannya.

kota ini juga terkenal sebagai kota yang memiliki pelbagai jenis manusia yang hebat-hebat. telahpun kita ketahui mengenai tugasan khas untuk menjadi warganya. telah juga kita tahu bidang-bidang yang ada di kota tersebut. apatah lagi jenis-jenis rakyatnya, dari puteri kayangan, sehinggalah pedagang kecil. akhir sekali, kita ketahui tentang tugasan-tugasan yang diberi kepada setiap mereka.

sekarang kita kenali acara pertarungan yang diadakan setiap 6 purnama.

acara pertarungan tersebut merupakan acara yang diadakan setiap 6 purnama [sebab apa nak kena ulang balik bahagian ni?]. semua rakyat dikehendaki menyertai acara ini. tak kira lelaki mahupun perempuan. kesemua rakyat haruslah sentiasa bersedia menjelang acara ini. oleh itu, tidaklah hairan kita melihat semua rakyat kota ini gagah-gagah saja, tambahan apabila mereka keluar dari kota itu, mereka sangat dipandang mulia, terutamanya dari penduduk kota lain.

oleh yang demikian, menjelang sepurnama sebelum acara tersebut, dapatlah kita lihat, semua penduduk berlatih. bermain senjata, bertempur tanpa senjata, bertempur sambil mata tertutup, dan lain-lain.

pendek kata, semua orang memandang serius akan acara tersebut.

hanya seorang saja yang sentiasa berbunga hatinya, siapa lagi kalau bukan syahbandar. tiada langsung kegusaran di hatinya, setiap hari hanya bergembira, berfoya-foya di kedai makan. hendak dikatakan beliau bertubuh sasa, gemuk gedempol saja mereka melihatnya. tapi, satu latihan pun tidak dilakukan. adakah beliau nak mampos cepat?

maka ini mengundang perasaan hairan kepada teman serumahnya, che'yat. maka bersegeralah dia bertanyakan syahbandar, ketika mereka makan malam.

che'yat : syahbandar, tidakkah tuan hamba berlatih untuk pertarungan nanti?

syahbandar : ah, tidak perlu. lawan hamba mudah saja.

che'yat : tapi, hamba tengok, sahabat-sahabat sebidang dengan tuan hamba, berhempas pulas sungguh mereka.

syahbandar : oh, itu. itu disebabkan kelemahan mereka sendiri. mereka bodoh! tiada percaturan untuk menghadapi pertarungan ini.

che'yat : maksud tuan hamba, tuan hamba sudah ada percaturan tuan hamba sendiri?

syahbandar : ya.

che'yat : apakah percaturan tersebut?

syahbandar : rahsia. =p

maka che'yat pun bertambahlah hairan, namun, tidaklah pula dia bertanya lebih, takut terkecil hatilah pula syahbandar. biarlah dia melihat sendiri kehebatan syahbandar ketika hari pertarungan tersebut.

maka tibalah hari pertarungan yang dinanti-nanti. begini cara pelaksanaan pertarungan tersebut. para rakyat akan berhimpun di dalam suatu dewan yang amat besar, kemudian dipecahkan mengikut bidang masing-masing. kemudian, seekor makhluk, biasanya raksasa akan dilepaskan. maka, setiap mereka haruslah menghapuskan makhluk tersebut. mereka diberikan masa antara 2 hingga 3 jam, bergantung kepada jenis makhluk yang dilepaskan.

maka berhimpunlah rakyat di depan dewan yang besar itu. seperti rakyat kebanyakan yang lain, che'yat berasa sangat risau. apakah cukup latihanku selama ini? aku tidak mahu mati sia-sia. kahwin pun belum ni!

namun begitu, syahbandar masih bergaya tenang. ini membuatkan che'yat semakin bingung.

pintu dewan mula dibuka, rakyat berpusu-pusu masuk. begitu juga che'yat. dia menarik tangan syahbandar, hendak masuk bersama. namun, syahbandar enggan.

"tuan hamba masuklah dahulu, hamba ingin membuang air sebentar."

maka masuklah che'yat ke dalam dewan tersebut. dengan harapan mereka semua akan berjaya dalam pertarungan tersebut.

che'yat sungguh bersungguh-sungguh. tidaklah dia perasan kewujudan rakyat lain. baginya, hanya raksasa itu yang harus ditewaskan.

maka 3 jam pun berlalu.

alhamdulillah, raksasa tersebut berjaya dibunuh. raksasa untuk rakyat dari bidang lain juga kelihatannya berjaya dibunuh. maka legalah che'yat. pastinya syahbandar teman serumahnya juga berjaya.

bersegeralah dia berlari-lari mendapatkan syahbandar. namun, kehairannya bertambah semula, apabila melihatkan tiada sebarang tanda pergelutan langsung. bersih saja. apabila ditanyakan mengenai itu,

"raksasa yang hamba dapat, mudah saja. sekejap saja sudah hamba selesaikan."

wah, hebat benar syahbandar. namun, takut ditipu lagi, dalam diam, che'yat pergi berjumpa dengan pedagang kecil.

che'yat : bagaimanakah perkembangan syahbandar sebentar tadi? benarkah mudah saja pertarungan tersebut?

pedagang kecil : ####! mana ada. susah tau tadi. dah la hamba demam. terpaksa juga bertarung. hamba tak nampak pun syahbandar tadi. tuan hamba sudah ditipu mungkin.

che'yat : apa?

tak sangka. sekali lagi che'yat tertipu. maka bertambah geramlah che'yat terhadap syahbandar.

bersambung..

Monday, June 7, 2010

raja segala penipu: 04

akibat penipuan yang berlaku antara syahbandar dan penduduk kampung ketika peperiksaan tempoh hari. mereka semua sepakat untuk memulaukan syahbandar. hampir semua orang berlagak seperti syahbandar tidak pernah wujud di negeri itu. sedangkan jiran-jirannya juga sepakat membawa berkat untuk mengusir syahbandar dari halaman mereka.

maka bergusarlah hati syahbandar. siapa lagi yang akan duduk dengannya? siapa lagi yang hendak ditipunya? kepada siapa lagi mahu berlagak palsu?

akan tetapi terperasanlah jua syahbandar akan seorang penduduk kota. yang juga gagal sepertinya. namun begitu. tidaklah pula penduduk itu mengetahui akan kegagalannya. padanya. syahbandar masih seorang yang hebat. seorang berketurunan terbilang.

maka bersegeralah syahbandar bersua penduduk tersebut. untuk menyatakan keinginan untuk tinggal bersama. penduduk itupun. apa lagi. bukan kepalang gembiranya. dapat berkesempatan untuk tinggal bersama seorang syahbandar yang terbilang. disegani ramai. tanpa banyak berfikir. beliau terus saja bersetuju.

maka legalah syahbandar. ada teman serumah. ada teman untuk berlagak palsu. ada teman untuk ditipu.

setelah beberapa ketika tinggal bersama. mereka telah diberikan beberapa tugasan. namun begitu. tidaklah sama tugasan mereka. kerana mereka berdua berlainan bidang.

walaupun demikian. teman serumah syahbandar (yang bernama che' yat) sangat mengambil berat akan perkembangan syahbandar. selalu saja dia bersembang mengenai tugasan masing-masing dengan syahbandar. dan selalunya. perkembangan syahbandar bukan sahaja positif. tetapi SANGAT POSITIF.

maka berbanggalah che' yat yang tinggal serumah dengan syahbandar.

pada suatu hari. che' yat bertanyakan syahbandar mengenai satu tugasan yang diberi nama "viktur kulukus". ya. sungguh pelik namanya. viktur kulukus. oh tugasan kat kota ni memang aneh sekali. sudahlah aneh. mereka diberikan pemarkahan apabila selesai tugasan tersebut.

che' yat : syahbandar. bagaimanakah tugasan viktur kulukus tuan hamba?

syahbandar : bolehlah che' yat. susah juga. namun tetap boleh dilunaskan hamba.

che' yat : (mula berbangga) oh. berapakah markah yang diperoleh tuan hamba?

syahbandar : (buat-buat segan) tiadalah banyak hamba perolehi. melainkan hanya tiga puluh lebih daripada empat puluh sahaja. (30++/40)

che' yat : oh sungguh pintar tuan syahbandar. (tersenyum bangga)

maka tersangatlah bangga che' yat apabila memiliki teman serumah yang sangat tajam akalnya. maka bersegeralah che' yat berlari ke seluruh kampung. menghebahkan kejayaan syahbandar. yang baginya. sangat pintar itu.

syahbandar dapat markah hampir penuh! syahbandar dapat markah hampir penuh!

akhirnya che' yat bertemu dengan para penduduk yang mengambil bidang kemudahan awam. cuba untuk berbangga. che' yat bertanyakan markah viktur kulukus penduduk lain pula.

27.

25.

21.

15.

9.

ah. rendahnya markah mereka. apa yang mereka lakukan di kota selama ini? membuang masa? membuang tenaga? ah ruginya mereka. alangkah bodohnya mereka! tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk menuntut ilmu pada tahap tertinggi? ingin sahaja che' yat menyuruh sekalian pengamal bidang kemudahan awam mengambil syahbandar sebagai contoh teladan mereka.

maka terjumpalah che' yat dengan pedagang kecil.

che' yat : kenapa kamu dapat markah teruk sangat?

pedagang kecil : tiadalah teruk sangat. lebih sikit daripada separuh.

che' yat : dapat sembilan belas (19) pun tuan hamba cakap lebih daripada separuh? memang patut tuan hamba mendapat markah sedemikian. tak pandai mengira!

pedagang kecil : aaa?

che' yat : tengok macam teman serumah hamba. syahbandar. dia boleh dapat markah hampir penuh. tiga puluh lebih daripada empat puluh.

pedagang kecil : aaaa?

che' yat : barulah hamba tahu. kenapa tuan hamba benci sangat kepada syahbandar. rupa-rupanya tuan hamba cemburu akan kebolehan dan kepintaran yang dimiliki syahbandar. SHAME ON YOU!!

ketika itu. ramai pengamal bidang kemudahan awam terperasan akan kejadian tersebut. lalu bergegaslah mereka. pedagang kecil mula marah kepada che' yat yang tidak mengikut skrip. masakan pula boleh berbicara barat ketika sesi penglipur lara?

pedagang kecil : wei. buat-buat bicara barat pula. apa tuan hamba ingat ini negara barat? tuan hamba tahu tak? tuan hamba sudah kena tipu bulat-bulat dengan si syahbandar durjana tu?

che' yat : aaaa?

pedagang kecil : tugasan viktur kulukus tersebut hanya memperutukkan 30 markah sahaja. mana pula datangnya 40 markah? bukan hamba yang bodoh. yang bodoh itu tuan hambalah! percaya bulat-bulat kepadanya.

pedagang kecil terus menunjukkan kertas markah tugasan viktur kulukusnya kepada che' yat.

alangkah malunya che' yat ketika itu. mana mahu diletakkan mukanya? maka. sambil mengangkat tangan gaya sivaji. che' yat berkata:

"babiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii~"

bersambung..

Tuesday, June 1, 2010

raja segala penipu: 03

kota tersebut merupakan sebuah kota yang diperintah oleh sultan yang sangat bijaksana. sebenarnya, kota tersebut telahpun mendapat naungan dari satu syarikat besar. maka, kesemua rakyatnya mendapat subsidi saban purnama. sememangnya rakyat jelata sangat bergembira dan berbangga menjadi rakyat kota tersebut.

namun tak semuanya datang bergolek-golek.

semua rakyat perlulah membuktikan kebolehan mereka dalam pelbagai bidang. pembinaan, pertanian, perkapalan, perlombongan, kemudahan awam, perdagangan, dan juga perhubungan awam. semua yang baru berpindah diberikan tempoh setahun untuk bersedia untuk ujian tersebut. sekiranya berjaya, mereka akan mendapat status kerakyatan tetap. namun, jika gagal, mereka akan dihalau keluar secara segera.

sultan memang seorang yang berfikiran jauh dan sangat pantang terhadap makhluk gagal.

sedikit mengenai ujian tersebut. rakyat jelata akan memilih pengkhususan ujian mengikut kebolehan dan minat mereka. ujian biasanya diadakan dua kali setahun, yakni pada purnama kelima dan kesebelas. tempoh yang diberikan adalah 3 purnama untuk setiap kali ujian. rakyat akan diberikan tugasan mengikut pengkhususan.

syahbandar juga tidak terkecuali.

berbekalkan status 13 alif wahid dalam peperiksaan umum di negeri asalnya, beliau sedikitpun tidak merasa risau mengenai ujian tersebut. beliau dan pedagang kecil (ketika mereka masih bersama) telah memilih untuk menjalani ujian kemudahan awam. fikir mereka, apalah sangat kerja memasang lampu jalan. ataupun menghantar pesanan antara sultan dengan sultan negeri lain. mudah sungguh untuk jadi rakyat di sini.

syahbandar sangat yakin dengan dirinya sendiri, sehinggakan sanggup membuat pernyataan bongkak berikut:

"ah, usahkan 3 purnama, setengah purnama pun boleh hamba siapkan"

para sahabat yang mendengarkan pernyataan tersebut, berasa sangat takjub. hebat sungguh syahbandar! pandai sungguh keluaran negeri beliau. setengah purnama tu! maka berduyun-duyunlah mereka mahu belajar ilmu syahbandar. syahbandar berasa bertambah bongkak.

"jangan datang dekat, masih banyak yang hamba belum pelajari. berikanlah hamba masa."

syahbandar baru teringatkan sesuatu. sejak datang ke kota tersebut, tidak banyak yang telah dilakukan. hampir setengah tahun bermain bersama pedagang kecil, suku tahun digunakan untuk mentertawakan puteri kayangan. kiranya, beliau masih belum bersedia. namun keegoan yang menebal membuatkannya tidak mengaku kalah.

tibalah hari ujian tersebut.

rakyat jelata berhimpun di tanah lapang. mereka mendapatkan taklimat daripada pengarah bahagian ujian. terdapat beberapa syarat dalam ujian tersebut:

  1. rakyat tidak boleh berhubung mengenai tugasan semasa ujian.
  2. seorang rakyat tidak boleh meniru hasil usaha rakyat lain. jika didapati bersalah, terus dilucutkan kerakyatan.
  3. merokok tidak dibenarkan. oh kota tersebut sangat suci udaranya sepanjang ujian tersebut.
  4. dan lain-lain.
setelah siap taklimat dan pembahagian tugasan, bermulakah ujian tersebut. semua rakyat mengambil tempat masing-masing, dan memulakan tugasan.

semua mata tertumpu kepada syahbandar, masing-masing mahu melihat kebolehannya. akan tetapi, berdasarkan runut wajahnya, kelihatan dia sedikit kesusahan. berkerut-kerut dahinya. peluh menitik-nitik.

setengah purnama kemudian, mereka datang untuk melihat syahbandar dari jauh. hendak melihat saat-saat akhir beliau menyiapkan tugasan. kelihatan perkembangannya sangat perlahan. ada yang mula mempertikaikan kredibiliti beliau sebagai orang yang berkebolehan menyiapkan tugasan dalam tempoh setengah purnama.

"mungkin dia saja buat perlahan-lahan kot. sikap cermat macam ni la yang patut dicontohi"

cukup sepurnama, mereka kembali lagi. masih begitu, berkerut-kerut dahi, berpeluh-peluh. apakah maksud ini? seraya mereka teringatkan pernyataan beliau tempoh hari.

"hamba memang boleh siapkan awal, namun, hamba tak mahu kalian mengatakan hamba sombong."

kejadian tersebut berulang sehinggalah cukup 3 purnama. syahbandar menghantar hasil tugasannya bersama-sama rakyat lain. apabila ditanyakan sebab berbuat demikian, syahbandar menjawab:

"oh sedikit susah tugasan tahun ini, namun bagi hamba, masih senang, cuma memerlukan daya pemikiran yang tinggi."

penilaian tugasan berlangsung selama 2 purnama. pelbagai sudut diperhatikan. akhirnya, keputusan dicetak, dan dipamerkan di sekitar kota.

seperti biasa, kesemuanya mencari nama mereka sendiri, barulah kemudiannya mencari nama orang lain. hampir kesemuanya diterima. ada juga yang gagal, namun mereka tidak dihalau, tetapi disuruh menjalani ujian tersebut sekali lagi. setengah tahun kemudian.

dan seperti biasa juga, semuanya mencari nama syahbandar. nama sebenar beliau adalah abdul syahbandar bin abdul bapa syahbandar.

tiada ditemukan. langsung.

namun apabila ditanyakan kepada syahbandar. inilah jawapan yang diberikannya:

"keputusan hamba terlalu baik, tidak ditulis di dalam kertas itu, melainkan pada kertas khas yang hanya sultan sahaja dapat melihatnya."

ada yang tidak berpuas hati, pergi berjumpa dengan pengarah bahagian ujian untuk mendapatkan kepastian, dan ini jawapan yang diterima:

"eh tak pernah ada pun senarai khas untuk tatapan sultan."

ketika itu, rakyat jelata, khususnya yang mengambil bidang kemudahan awam, mula sedar akan pembohongan yang dilakukan syahbandar. mana mungkin terlalu bijak sehingga tahap itu. kalau berjaya siapkan tugasan dalam setengah purnama itu, lainlah.

namun, mereka semua kehairanan. kenapa syahbandar tidak dihalau atau disuruh mengulangi tugasan? bahkan bersenang-lenang sahaja di kota itu. ini sangat berbeza dengan pendirian kerajaan yang tidak mahu makhluk-makhluk gagal berkeliaran di dalam kota itu.

khabar angin bertiup kencang mengatakan syahbandar menggunakan pengaruh kedua ibu bapanya yang merupakan ketua syahbandar dan ketua dayang untuk mengekalkan statusnya sebagai rakyat di kota itu.

ini menimbulkan kemarahan para rakyat. orang lain bersusah-payah berusaha, dia duduk bersantai sahaja. kemudian mengaku pandai pula tu. ini bukan setakat sombong.

ini..

ini..

ini..

bodoh.

ini bodoh sombong.

"penipu! tak guna kau syahbandar. tak apa. tunggulah engkau.." kali ni makin ramai yang mengangkat tangan gaya sivaji.

bersambung..